Hari ini saya ke rumah mentua saya yang berjarak kira-kira satu jam setelah isteri saya dan anak yang menghampiri usia 2 tahun menghabiskan masa selama 2 minggu di sana. Bapa mentua saya yang tinggal seorang agak gembira kalau isteri saya di sana kerana dapat meringankan makan dan pakainya kerana beliau sendiri tak tahu dan malas memasak. Ipar duai padahal ada juga duduk berdekatan tapi masing-masing buat hal sendiri.
Terjaga dari tidur, saya terus mencari telefon bimbit. Telinga agak bingit bila mendengar tangisan anak yang kuat di dalam keadaan yang mamai antara sedar dan tidak. Wah!!! ada beberapa "missed call" yang tak terjawab. Salah satunya dari kenalan saya Abg Z yang sudah tentu ingin meminta bantuan saya beberapa hari di kilang beliau. Serba salah hati hendak menolak kerana saya sendiri agak sibuk dan hasil kebun sawit kali ini agak merosot kerana penangguhan baja dan kerja kerja membuang pelepah.
Namun begitu, saya percaya pada kata-kata orang yang sibuklah orang yang mempunyai masa. Selepas blog ini ditulis saya akan ke kedai membeli pampers anak sementara menanti rakan kongsi saya mengambil alih tugas menjaga kedai. Seterusnya saya akan memandu untuk jarak satu jam suku untuk menyambung pengajian ilmu Mengenal Diri dengan guru silat saya. Sungguhpun pembawaan beliau agak berbeza dengan apa yang saya baca di buku-buku agama dan apa yang saya pelajari dengan guru Tarikat dan apa yang diajar oleh bapa saya, saya tetap percaya bahawa ilmu Allah itu luas sesuai dengan sifat-sifatNya yang Agung. Hanya pehamahan manusia mengarah dari sudut yang berbeza-beza. Malam lepas saya bergelanggang silat dan berlatih giat. Malam esok saya akan mengajar pula silat aliran minangkabau di daerah sebelah. Malam lusa saya ada menghadiri seminar perniagaan di sebuah hotel di Johor Bahru. 4 malam ini nampaknya bukan masa untuk bersama anak dan isteri.
Sangat mujurlah sejak 18 November lalu saya berjaya membuat jadual perancangan harian yang terhenti lama. Ini amat penting di dalam meniti hari-hari yang semakin sibuk dengan keinginan dan tanggungjawab. Teringat lagi kata-kata "those who fail to plan, is plan to fail, plan your work, and work your plan".
Disamping perancangan kerja yang tersusun, masa rehat dengan tidur yang optimum amat penting untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Saya masih belum mampu untuk turun beradu ke kamar tidur pada tepat jam 11 seperti yang disarankan oleh ibu saya. Moga-moga saat itu tercapai.
No comments:
Post a Comment