Thursday, November 25, 2010

Pentingnya pengurusan masa dan rehat yang cukup

Hari ini saya ke rumah mentua saya yang berjarak kira-kira satu jam setelah isteri saya dan anak yang menghampiri usia 2 tahun menghabiskan masa selama 2 minggu di sana. Bapa mentua saya yang tinggal seorang agak gembira kalau isteri saya di sana kerana dapat meringankan makan dan pakainya kerana beliau sendiri tak tahu dan malas memasak. Ipar duai padahal ada juga duduk berdekatan tapi masing-masing buat hal sendiri.

Terjaga dari tidur, saya terus mencari telefon bimbit. Telinga agak bingit bila mendengar tangisan anak yang kuat di dalam keadaan yang mamai antara sedar dan tidak. Wah!!! ada beberapa "missed call" yang tak terjawab. Salah satunya dari kenalan saya Abg Z yang sudah tentu ingin meminta bantuan saya beberapa hari di kilang beliau. Serba salah hati hendak menolak kerana saya sendiri agak sibuk dan hasil kebun sawit kali ini agak merosot kerana penangguhan baja dan kerja kerja membuang pelepah.

Namun begitu, saya percaya pada kata-kata orang yang sibuklah orang yang mempunyai masa. Selepas blog ini ditulis saya akan ke kedai membeli pampers anak sementara menanti rakan kongsi saya mengambil alih tugas menjaga kedai. Seterusnya saya akan memandu untuk jarak satu jam suku untuk menyambung pengajian ilmu Mengenal Diri dengan guru silat saya. Sungguhpun pembawaan beliau agak berbeza dengan apa yang saya baca di buku-buku agama dan apa yang saya pelajari dengan guru Tarikat dan apa yang diajar oleh bapa saya, saya tetap percaya bahawa ilmu Allah itu luas sesuai dengan sifat-sifatNya yang Agung. Hanya pehamahan manusia mengarah dari sudut yang berbeza-beza. Malam lepas saya bergelanggang silat dan berlatih giat. Malam esok saya akan mengajar pula silat aliran minangkabau di daerah sebelah. Malam lusa saya ada menghadiri seminar perniagaan di sebuah hotel di Johor Bahru. 4 malam ini nampaknya bukan masa untuk bersama anak dan isteri.

Sangat mujurlah sejak 18 November lalu saya berjaya membuat jadual perancangan harian yang terhenti lama. Ini amat penting di dalam meniti hari-hari yang semakin sibuk dengan keinginan dan tanggungjawab. Teringat lagi kata-kata "those who fail to plan, is plan to fail, plan your work, and work your plan".

Disamping perancangan kerja yang tersusun, masa rehat dengan tidur yang optimum amat penting untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Saya masih belum mampu untuk turun beradu ke kamar tidur pada tepat jam 11 seperti yang disarankan oleh ibu saya. Moga-moga saat itu tercapai.

Tuesday, November 16, 2010

Mencari persamaan halatuju pemikiran - - - Lateral Thinking

Buku "7 STEPS TO BECOME A YOUNG ENTREPRENEUR" yang saya beli dengan harga RM 25 hanya dapat saya habiskan separuh. Buku ini sangat memberi saya inspirasi yang mendalam kerana ditulis oleh seorang budak lelaki berumur 14 tahun yang sudah mampu memberi ucapan di hadapan ramai orang. Bapanya merupakan salah seorang jutawan di Malaysia iaitu Abang Abu yang sekarang giat memberi ceramah dan membuat bengkel-bengkel bersama-sama Irfan Khairi dan lain-lain.


Pembacaan terhenti bila rakan saya pemilik kilang datang membayar upah harian kerana menolongnya untuk beberapa hari dek kekurangan kakitangan. Sambil beliau bermain permainan komputer kami berbual banyak hal tentang Jatuh Bangun Perniagaan, Kesan Penggunaan Dadah Terhadap Rakan dan Keluarga Rapat, Pilihan Terbaik Untuk Memajukan Perniagaan Mengikut Masa Sekarang Dan Mendatang, dan juga Program-program Perniagaan Berunsur Penipuan di Malaysia. Apa yang sangat menyentuh saya ialah tajuk keempat yang kami bualkan dengan santai. Iaitu keadaan di mana satu perniagaan berunsur penipuan yang melalui fasa 95 peratus untuk dihukum tidak bersalah oleh kerajaan. Andai ini benar berlaku, benarlah bahawa WANG kadangkala mampu membeli KEADAAN.

pelengkap ijazah tepi jalan

Hari ini hujan agak lebat di salah satu daerah di selatan negeri Johor. Hampir 6 bulan saya bermotosikal untuk perjalanan jauh kerana keseronokan menggantikan kelesuan pemanduan kereta. Perjalanan terpaksa dihentikan dek kerana air cuci bumi yang Allah sampaikan mencurah-curah. Entah kenapa, suasana hujan lebat dan cuaca gelap adalah sesuatu yang saya sukai sejak dulu untuk dinikmati. Bagi sesetengah orang ia sesuatu yang menyusahkan kerana sukar hendak ke sana ke mari. Bagi sesetengah orang yang baru berkahwin kenikmatan berkelamin yang diutamakan. Bagi yang berjaja air godak tepi jalan akan mengeluh seolah-olah tiada hari esok. Tapi saya sangat suka akan kedinginan dan nikmat sejuk sederhana yang mampu dinikmati manusia. Rasa marah terhadap sesiapa boleh terubat dengan cuaca sebegitu.

Menantikan hujan reda saya duduk di kedai makan bersama kawan-kawan dengan memesan soto ayam. Soalan saya kepada pakcik yang mengambil pesanan:- "ayam soto ni goreng ke tak pakcik?" dia tertawa kecil. Mungkin dia kelakar dengan soalan saya. Seorang rakan saya di sebelah juga tersenyum kelat bersama isterinya. Setuju dengan jawapan yang tak memuaskan hati pakcik tersebut saya duduk dan menanti pesanan. Soto yang sampai ternyata seperti apa yang saya gambarkan; ayam goreng disiat. Sebagai anak Johor berbangsa Jawa yang sinonim dengan makanan soto ayam, saya berasa kasihan kerana peniaga kedai makan tidak belajar untuk membuat masakan atau makanannya mengikut cara yang betul dan diterima ramai. Tidak salah mengubahsuai. Chef saya sebelum ini juga pernah mengatakan bahawa MASAK itu suatu SENI. Tetapi bila ayam soto tidak direbus dengan rempah soto dan digantikan dengan ayam goreng yang digoreng dengan minyak terpakai ataupun jelantah, apa yang berlaku ialah soto yang dinikmati akan berasa kelat. Maka tiadalah seninya. Ditambah pula dengan sambal kicap yang jauh dari meja dan tidak dihidangkan bersama. Mujur dibelanja rakan. Kalau dengan wang sendiri mulut saya sudah tentu akan cari tokey kedai untuk memberi teguran membina. Walaupun begitu seusai makan mulut tetap tak lupa mengucap syukur Alhamdulillah atas rezeki makanan yang Allah berikan.

Kedinginan dan kesejukan petang itu dipecahkan dengan tawa riang seorang kanak-kanak kacukan yang mana beribukan orang Filipina dan berbapakan cina tempatan. Beliau yang rapat dengan salah seorang rakan saya sibuk menayang trofi dan gambar tadika tumpangnya yang hanya seramai 14 orang. Uniknya kanak-kanak ini lebih senang berbahasa melayu dan sangat petah walaupun sedikit pelat. Ibunya juga boleh berbahasa melayu membuatkan suasana petang yang sejuk lebih menyenangkan. Umurnya baru 5 tahun dan bila ditanya siapa aweknya lantas ditunjukkan gambar seorang rakan sekelasnya yang bertudung dan merupakan satu-satunya budak melayu di kelas tadika Sekolah Cina tersebut. Nama melayu budak kacukan itu Mohd Khan bin Abdullah dan aweknya seperti tertera di gambar Natasya. Saya berdoa di dalam hati agar besar nanti beliau digerakkan Allah untuk mengambil agama Allah.

Friday, November 5, 2010

Dunia Persilatan dan Beladiri

Semua mahu mengaku milik mereka yang terbaik. Dunia ini (persilatan dan beladiri) adalah dunia yang penuh keegoan. Tidakkah mereka sedar sumber asal segala ilmu dan kalau asal satu itu manusia itu siapakah dia kalau bukan Adam yang telah diajarkan kepadanya segala nama-nama yang ada di isi dunia ini.


Tuesday, November 2, 2010

Mula ber'blog'

Hari ini aku mula ber'blog' untuk menambah idea dan kenalan juga mencari titik persamaan disamping melegakan kewujudan tekanan. Percubaan ini juga adalah untuk mengurangkan penggunaan masa yang terlalu banyak habis di halaman Facebook.