Tuesday, November 16, 2010

pelengkap ijazah tepi jalan

Hari ini hujan agak lebat di salah satu daerah di selatan negeri Johor. Hampir 6 bulan saya bermotosikal untuk perjalanan jauh kerana keseronokan menggantikan kelesuan pemanduan kereta. Perjalanan terpaksa dihentikan dek kerana air cuci bumi yang Allah sampaikan mencurah-curah. Entah kenapa, suasana hujan lebat dan cuaca gelap adalah sesuatu yang saya sukai sejak dulu untuk dinikmati. Bagi sesetengah orang ia sesuatu yang menyusahkan kerana sukar hendak ke sana ke mari. Bagi sesetengah orang yang baru berkahwin kenikmatan berkelamin yang diutamakan. Bagi yang berjaja air godak tepi jalan akan mengeluh seolah-olah tiada hari esok. Tapi saya sangat suka akan kedinginan dan nikmat sejuk sederhana yang mampu dinikmati manusia. Rasa marah terhadap sesiapa boleh terubat dengan cuaca sebegitu.

Menantikan hujan reda saya duduk di kedai makan bersama kawan-kawan dengan memesan soto ayam. Soalan saya kepada pakcik yang mengambil pesanan:- "ayam soto ni goreng ke tak pakcik?" dia tertawa kecil. Mungkin dia kelakar dengan soalan saya. Seorang rakan saya di sebelah juga tersenyum kelat bersama isterinya. Setuju dengan jawapan yang tak memuaskan hati pakcik tersebut saya duduk dan menanti pesanan. Soto yang sampai ternyata seperti apa yang saya gambarkan; ayam goreng disiat. Sebagai anak Johor berbangsa Jawa yang sinonim dengan makanan soto ayam, saya berasa kasihan kerana peniaga kedai makan tidak belajar untuk membuat masakan atau makanannya mengikut cara yang betul dan diterima ramai. Tidak salah mengubahsuai. Chef saya sebelum ini juga pernah mengatakan bahawa MASAK itu suatu SENI. Tetapi bila ayam soto tidak direbus dengan rempah soto dan digantikan dengan ayam goreng yang digoreng dengan minyak terpakai ataupun jelantah, apa yang berlaku ialah soto yang dinikmati akan berasa kelat. Maka tiadalah seninya. Ditambah pula dengan sambal kicap yang jauh dari meja dan tidak dihidangkan bersama. Mujur dibelanja rakan. Kalau dengan wang sendiri mulut saya sudah tentu akan cari tokey kedai untuk memberi teguran membina. Walaupun begitu seusai makan mulut tetap tak lupa mengucap syukur Alhamdulillah atas rezeki makanan yang Allah berikan.

Kedinginan dan kesejukan petang itu dipecahkan dengan tawa riang seorang kanak-kanak kacukan yang mana beribukan orang Filipina dan berbapakan cina tempatan. Beliau yang rapat dengan salah seorang rakan saya sibuk menayang trofi dan gambar tadika tumpangnya yang hanya seramai 14 orang. Uniknya kanak-kanak ini lebih senang berbahasa melayu dan sangat petah walaupun sedikit pelat. Ibunya juga boleh berbahasa melayu membuatkan suasana petang yang sejuk lebih menyenangkan. Umurnya baru 5 tahun dan bila ditanya siapa aweknya lantas ditunjukkan gambar seorang rakan sekelasnya yang bertudung dan merupakan satu-satunya budak melayu di kelas tadika Sekolah Cina tersebut. Nama melayu budak kacukan itu Mohd Khan bin Abdullah dan aweknya seperti tertera di gambar Natasya. Saya berdoa di dalam hati agar besar nanti beliau digerakkan Allah untuk mengambil agama Allah.

No comments:

Post a Comment